Saturday, August 21, 2010

SAJIAN YANG DIGEMARI

MASAK LEMAK CILI API PARI PUCUK UBI

SAMBAL TUMIS UDANG PETAI
SAMBAL TUMIS UDANG PETAI
Bahan-bahannya:

1kg udang besar dibuang kulit dan di belah tengah
4 tangkai petai (dibuang kulit dan dibelah tengah)
10 tangkai cili kering
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
sedikit belacan
(Bahan yang berwarna biru dikisar halus)
3 sudu besar air asam
1 sudu sederhana besar gula
garam secukup rasa
2 sudu besar minyak untuk menumis

Cara Memasak:

Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan yang telah dikisar tadi, masukkan sedikit air jika mahu dan masak sehingga agak garing. Kemudian letakkan garam dan gula, kacau-kacaukan sehingga cili menjadi agak gelap kemudian masukkan air asam dan kacaukan sehingga mendidih, boleh tambahkan air sekiranya kuah agak pekat. Kemudian masukkan udang bersama petai dan masak lebih kurang 10 minit dan hidangkan.


MASAK LEMAK CILI API PARI PUCUK UBI

Bahan-bahannya:

1/2kg ikan pari atau ikan keli
secekak pucuk ubi
6 biji cili padi
1 labu bawang sederhana besar
segengam ikan bilis
(tumbukkan bahan-bahan berwarna biru)
1/2 biji kelapa
1 sudu besar minyak untuk menumis
1 sudu sederhana besar gula (utk kurangkan pedas jika mahu)
3 sudu air asam
garam secukup rasa

Cara Memasak:

Rebus pucuk ubi sehingga masak dan ketepikan. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan masak sehingga agak garing. Kemudian masukkan santan dan kacau-kacaukan agar santan tidak berketul-ketul. Masukkan air asam gula dan garam. Apabila kuah telah mendidih masukkan ikan pari/keli dan pucuk ubi yang telah direbus tadi dan masak dalam 15 minit dalam periuk yang bertutup rapat.

MENU YANG BIASA ANDA LIHAT

SOTONG GORENG RAMPAI
LELE BELADO

SAMBAL BILIS KENTANG


KARI KEPALA IKAN KAPITAN

SOTONG GORENG RAMPAI
1/2kg sotong yang telah dipotong-potong
5 batang kacang panjang (di kerat2 panjang)
1/2 biji lobak merah (di mayang kasar)
1/2 labu bawang besar dimayang halus
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
1 sudu besar minyak
Cara memasak
Gaulkan serbuk kunyit bersama sotong dan garam. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Apabila minyak telah panas masukkan sotong yang telah digaul tadi masak sehingga garing dengan api yang sederhana kuat, kemudian masukkan lobak merah kacau lagi, selepas itu masukkan kacang masak sehingga kacang agak lembut dan hidangkan.
LELE BELADO
1/2kg ikan keli (digoreng sehingga garing)
10 biji cili kering
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
sedikit belacan
(blend'kan bahan-bahan berwarna biru)
2 sudu besar minyak untuk menumis
2 sudu besar air asam cair
1 sudu sederhana besar gula
Cara Memasak:
Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar. Masukkan garam dan gula dan masak sehingga garing. Kemudian masukkan air asam dan boleh tambah air sekiranya kuah agak pekat. Bila telah mendidih masukkan ikan keli yang telah digoreng tadi kacau-kacaukan dan hidangkan.
SAMBAL BILIS KENTANG
1/2 kg ikan bilis
6 biji kentang ( dipotong2 agak nipis)
10 biji cili kering
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
sedikit belacan
(kisarkan bahan-bahan berwarna biru)
2 sudu besar air asam cair
1 sudu sederhana besar gula
3 sudu besar minyak untuk menumis
minyak untuk menggoreng (ikan bilis dan kentang)
Cara Memasak:
Gorengkan ikan bilis sehingga garing diikuti dengan kentang. Guna kuali yang lain untuk menumis sambal. Panaskan minyak dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar. Masak sehingga garing dan masukkan sedikit air untuk mempercepatkan cili tersebut masak. Apabila kuah agak garing masukkan gula dan garam serta air asam. Tambahkan air sekiranya kuah agak pekat, bila kuah telah mendidih masukkan ikan bilis dan kentang yang telah digoreng tadi dan kacau-kacau sedia untuk dihidangkan.
KARI KEPALA IKAN KAPITAN
1 kg kepala ikan merah
4 sudu besar rempah ikan BABA's (dibancuh dengan air)
3 sudu air asam cair
1 labu bawang sederhana besar
4 ulas bawang putih
(tumbukkan bahan berwarna biru)
sedikit halia dimayang kasar
1 sudu kecil biji sawi
3 sudu minyak untu menumis
1/2 biji santan kelapa
2 biji tomato
6 batang bendi
garam secukup rasa
Cara Memasak:
Panaskan periuk dan masukkan minyak biarkan sehingga panas. Masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi, masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan air, biji sawi dan halia. Tumiskan sehingga naik bau dan minyak. Apabila rempah telah naik minyak dan garing masukkan garam, air asam dan santan kacaukan sehingga mendidih. Apabila kuah telah mendidih masukkan kepala ikan diikuti dengan bendi dan tomato serta tutupkan periuk. Telah masak hidangkan




MASAKAN SIMPLE DAN PANTAS TAPI SEDAP

TELUR IKAN GORENG KUNYIT
GULAI LEMAK IKAN PATIN
BENDI GORENG BELACAN


TELUR IKAN GORENG KUNYIT
Bahan-bahannya:
1/2 kg telur ikan tenggiri
1 biji bawang besar dimayang halus
1 sudu besar serbuk kunyit
garam secukup rasa
1 biji tomato di potong enam
3 sudu besar minyak untuk memasak
Cara memasak:
Panaskan kuali dan minyak, apabila panas masukkan telur ikan yang telah digaul dengan serbuk kunyit dan garam, goreng sehingga garing dan kacau-kacaukan agar ia tidak hangus. Apabila sudah garing masukkan bawang dan tomato dan kacau-kacaukan sehingga rata dan sedia untuk dihidangkan.
GULAI LEMAK IKAN PATIN
Bahan-bahannya:
1/2 kg ikan patin
8 biji cili padi
1 labu bawang besar
segengam ikan bilis
(tumbukkan bahan2 berwarna biru)
2 sudu minyak masak
1/2 biji santan kelapa
sedikit asam jawa/ 2 keping asam keping (mana-mana pun takpe)
garam secukup rasa
2 sudu kecil gula
2 biji tomato dipotong 4
Cara memasak:
Panaskan periuk dan masukkan minyak. Tumis bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi sehingga agak garing, lepas itu masukkan santan dan air asam, biarkan kuah mendidih, masukkan ikan, garam dan gula. Selepas 10 minit masukkan tomato dan hidangkan.
BENDI GORENG BELACAN
Sayur Bendi ( agak2 la dalam sepinggan hidangan)
(di potong serong-serong)
3 biji cili merah
1/2 labu bawang sederhana besar
3 ulas bawang putih
sedikit belacan
segengem ikan bilis atau udang kering (mana2 pun takpe)
(tumbukkkan bahan yang berwarna biru)
sedikit minyak untuk menumis
garam secukup rasa
3 sudu besar air
Cara memasak:
Panaskan kuali dan masuukan sedikit minyak. Apabila minyak sudah panas masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi. Tumis sehingga agak garing, masukkan sedikit air. Kemudian masukkan bendi dan kacau2 sehingga rata dan empuk. Kemudian sedia dihidangkan.
Masakan ini sesuai untuk mereka yang mempunyai masa yang sangat terhad untuk memasak sebelum berbuka. Jangka masa untuk memasak 3 jenis hidangan ini tidak sampai dalam 1 jam sahaja. Selamat mencuba!!


Thursday, August 12, 2010

JAPANESE FOOD

Kaki Furai atau tiram goreng celup tepung roti. Sangat sedap dan ranggup. kalau makan direstoran agak mahal harganya. Kaki atau tiram ini sangat murah terutamanya pada musim sejuk kerana pada musim sejuklah hasil tiram ini akan bertambah-tambah. Pada musim-musim lain juga ada dijual tetapi yang frozen. Walaubagaimanapun saya rasa semua kaki sedap samada frozen atau yang fresh. Kaki furai ni biasanya dicicah dengan sos dan mayonis..sedapppnya!!
Ini pula adalah Ebi Tempura Don. Di bawahnya ada nasi yang dicurahkan dengan kicap jepun. Manakala sayuran dan udang dicelup dengan tepung tempura kemudian digoreng garing. tepung tempura masih banyak stok lagi kat rumah ni..nanti boleh try.

Ini memang favorite saya, Kaki Don. Nasi Tiram. Tiram dimasak bersama kicap jepun kemudian diletakkan telur yang telah dipukul dan masak sehingga separuh masak dan tutupkan di atas nasi. Nampak simple dan senang disediakan...tapi bab tiram tu yang mahal kat sini. Bolehlah digantikan dengan kerang atau siput2 lain.













SALAD TUNA

Salad Tuna ini sangat simple sesuai untuk mereka yang ingin men'dietkan diri. Senang dan cepat dihidangkan. Apa yang anda perlu ialah sedikit sayur salad atau 'lettuce' beserta potongan tomato atau anda boleh tambahkan lain-lain sayur lagi hidangkan di dalam bekas atau mangkuk letakkan sedikit 'thousand island' beserta mayonis dan di bahagian atas letakkan isi tuna in oil yang boleh didapati di supermarket2 bukan tuna sardin ye..kemudian apabila nak makan anda perlu gaul-gaulkan isi tuna beserta salad sehingga sebati dan makan. Sangat fresh dan sedap!


NASI BERIYANI UDANG dan RENDANG LALA


NASI BERIYANI UDANG


Bahan-bahan:


3 pot beras basmathi

1/2 kg udang sederhana besar

1 paket rempah beriyani Faiza (kecil)

2 kuntum bunga lawang

5 biji buah pelaga

1 batang kulit kayu manis

3 sudu minyak sapi

3 sudu air asam cair

Garam secukup rasa

1 labu bawang dimayang halus

2 biji tomato di hiris-hiris


Cara Memasak:


Basuhkan beras dan letakkan minyak sapi serta sedikit garam. Biarkan nasi sehingga masak. Sementara itu panaskan kuali serta tumiskan bunga lawang,buah pelaga dan kulit kayu manis sehingga naik baunya. Bancuhkan rempah beriyani tadi dan masukkan ke dalam kuali dan masak sehingga naik garing, letakkan sedikit garam dan 3 sudu air asam cair. Bila kuah dah hampir pekat masukkan udang dan kacau-kacaukan. Kemudian masukkan bawang beserta tomato dan ketepikan. Apabila nasi sudah hampir masak (air dah kering) masukkan udang yang telah dimasak tadi dan kacaukan hingga rata di dalam periuk nasi tadi dan biarkan nasi masak sepenuhnya. Apabila sudah masak sila hidangkan.


RENDANG LALA


2 kg siput lala rebuskan dan kopekkan isinya

2 labu bawang besar

3 inci halia

10 tangkai cili kering

3 batang serai

3 inci lengkuas

2 inci kunyit/1 sudu sederhana serbuk kunyit

(blend'kan yg berwarna biru)

sedikit bunga lawang,buah pelaga dan kulit kayu manis

sebungkus kecil kerisik

1 cawan santan pekat

sedikit garam

1 sudu sederhana gula

sedikit gula merah/gula kabung

2 sudu minyak masak untuk menumis


Cara memasak:


Panaskan kuali, masukkan minya masak. Apabila minyak sudah panas masukkan buah pelaga,bunga lawang dan kayu manis sehingga naik bau. Kemudian masukkan bahan yang telah di'blend tadi dan kerisik kemudian masak sehingga naik bau dan pekat, kemudian masukkan santan, gula,garam,gula merah, bila kuah dah pekat masukkan siput lala yang telah direbus tadi dan masak sehingga kuah kering dan setelah masak hidangkan.


KEMBUNG KUKUS AIR ASAM dan LIMPA MASAK SUMATERA

LIMPA MASAK SAMUDERA
IKAN KEMBONG KUKUS AIR ASAM

Sebenarnya hari ini nak masak Gulai Telor Ikan Tenggiri entah macam mana semasa keluarkan dari peti beku tercapai bungkusan limpa yang bentuknya seakan-akan sama macam bungkusan telur ikan. Bila dah cair baru perasan. Tapi takpe masak aje la kan. Kalau semalam dah makan daging hari ini kita makan ikan pulak. Sumber protein yang sangat baik untuk kesihatan..cewah maka giliran cik kembong la pulak hari ini.

IKAN KUKUS AIR ASAM

3 ekor ikan kembong/ikan bawal putih/ikan cencaru pun boleh


1 labu bawang besar dimayang halus


2 biji tomato dipotong dadu


6 biji cili padi yang dipotong-potong nipis


2 biji cili merah juga dipotong nipis


1/2 cawan air asam yang pekat


sedikit belacan


1 sudu gula


garam secukup rasa




Cara Memasak:




Kukuskan ikan kembung sehingga masak dan ketepikan. Masukkan semua bahan-bahan tadi dan ramaskan bersama-sama di dalam satu bekas sehingga mendapat jumlah air asam yang mencukupi. Letakkan ikan yang telah dikukus tadi ke dalam pinggan dan curahkan air asam tadi sehingga ikan tersebut terendam di dalamnya dan sedia dihidangkan.




Hidangan ini sesuai untuk mereka yang baru terkocoh-gapah balik ofis tetapi masih sanggup memasak sendiri untuk berbuka ( saya le tu..) senang dan ringkas serta menjimatkan masa. Air asam sehingga menjilat jari tau!!




LIMPA MASAK SAMUDERA




500 gram limpa lembu/paru pun boleh


5 tangkai cili merah


1/2 biji bawang besar


2 biji bawang putih


(blend'kan yang berwarna biru)


2 sudu besar sos tiram


1 sudu besar sos cili


4 sudu besar air asam cair


1 sudu gula


garam secukup rasa


1 labu bawang besar dimayang kasar


3 sudu besar minyak untuk menumis




Cara Memasak:




Rebuskan limpa sehingga benar-benar lembut dan empuk kemudian ketepikan. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan-bahan yang telah di blend tadi sehingga naik bau. Masukkan gula dan garam. Apabila garing masukkan sos tiram,sos cili dan air asam. Limpa yang telah direbus tadi bolehlah dihiris-hiris nipis kemudian masukkan ke dalam bahan-bahan yang ditumis tadi. Apabila kuah agak pekat tambahkan sedikit air dan masukkan bawang yang telah dimayang kasar tadi dan kacau-kacaukan sehingga mendapat tekstur kuah yang diinginkan. (tidak cair dan tidak terlalu pekat)Kemudian hidangkan..taraaaa!!


Wednesday, August 11, 2010

SIAKAP KUNG FOO DAN SUP TULANG MERAH

SUP TULANG MERAH
IKAN SIAKAP KUNG FOO

Salam semua.. selalu saya pergi makan di Restoran-restoran ala-ala tomyam di sekitar Kajang dan Bangi. Menu ikan siakap biasanya siakap masak 3 rasa, sweet sour, masak teowcheow dan siakap stim. Macam dah jemu dan nampak sangat senang untuk disediakan. Apa kata kali ini kita ubah sedikit dan bikin agak pedas dan lebih kick dari resepi-resepi yang biasa kita makan di restoran. Ok untuk hari pertama ramadhan ini saya sediakan Siakap Kung Foo. Nama ini saja-saja je letak dan tak membawa apa-apa makna. Cuma masakan ini agak pedas jadi orang yang makan rasa macam nak berkung foo la kot. Ishh..takde la melawak ja naaa..



Ikan Siakap Masak KungFoo



Bahan-bahannya:


I ekor ikan siakap/kembung/kerapu/bawal ( yang telah dikelar-kelar dan gaulkan dengan sedikit tepung tempura atau tepung goreng ayam)

3 sudu minyak masak untuk menumis

3 biji cili merah

5 biji cili padi

2 labu bawang besar (sederhana besar)

( blend'kan semua yang berwarna biru)

3 sudu besar air asam jawa

garam secukup rasa

2 sudu gula

2 biji tomato (dibelah dan dipotong dadu besar)

1 labu bawang besar ( di mayang kasar)

1 biji timun jepun ( timun mesia pun boleh, di potong panjang-panjang ala acar)

4 batang kacang bendi (di potong serong)



Cara Memasak: Panaskan kuali dan goreng ikan hingga garing kemudian ketepikan. Tumiskan bahan yang telah di'blend' sehingga naik baunya. Masak hingga garing kemudian letakkan gula dan air asam diikuti dengan tomato dan garam secukup rasa. Tambahkan sedikit air agar kuah tidak terlalu pekat dan boleh menutupi seekor ikan bila dah masak curahkah ke atas ikan yang telah digoreng tadi dan hidangkan


SUP TULANG MERAH

sekilo tulang bersih dan rebuskan

1 biji bawang sederhana besar

10 tangkai cili kering

5 ulas bawang putih

(blend semua di atas)

6 biji buah pelaga

1 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga lawang

1 tin tomato sup

5 sudu sos cili

garam secukup rasa

2 sudu gula

5 sudu minyak masak



Cara Memasak:



Rebuskan tulang sehingga empuk dagingnya dan ketepikan. Panaskan kuali masukkan minyak dan tumis buah pelaga,kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga naik baunya. Masukkan bahan yang telah diblend tadi, tumis sehingga garing, masukkan gula dan garam serta sos cili. Kemudian masukkan 1 tin tomato sup dan garam secukup rasa. Bila kuah dah hampir pekat masukkan tulang yang telah direbus tadi dan biarkan dalam 10 minit dan hidangkan.

Salam Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan buat semua yang mengenali saya. Tahun ini saya sangat excited sebab dapat raya di Malaysia setelah 3 tahun raya diperantauan. So, tahun ni takde dah gambar kita orang dalam paper utusan untuk salam perantau seperti tahun-tahun yang lepas selama 3 tahun berturut-turut menjadi pengirim yang setia.

Ok..saya nak bersilat di dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa, resepi dan gambar-gambar juadah akan saya muat naikkan di sini nanti ya..sharing is caring maa!!